Saturday, September 19, 2009

11 Ikan Kelisa Antara Yang Dicuri Kumpulan Pecah Rumah

11 Ikan Kelisa Antara Yang Dicuri Kumpulan Pecah Rumah


NIBONG TEBAL, 6 Julai (Bernama) -- Sebelas ekor ikan kelisa bernilai tinggi adalah antara barang curi yang ditemui semula oleh polis setelah mereka menahan tujuh orang termasuk seorang wanita mengandung yang aktif menjalankan aktiviti pecah rumah di sekitar Seberang Perai Selatan (SPS) dalam beberapa serbuan.

Bagaimanapun, menurut Ketua Polis Daerah SPS Supt Shafien Mamat, kesemua ikan itu yang bernilai puluhan ribu Ringgit, ditemui mati dalam kolam di rumah seorang anggota kumpulan itu dipercayai dibunuh kerana penjenayah bimbang ia akan dijadikan bahan bukti.

Bercakap kepada pemberita di sini Isnin, beliau berkata ikan-ikan itu mempunyai cip khas bagi membolehkan ianya dikesan sekiranya dicuri.

Katanya ikan-ikan itu dilaporkan hilang oleh beberapa pemilik.

Shafien berkata anggota kumpulan itu berusia antara 18 dan 30 tahun, dan tiga daripada mereka termasuk wanita berusia 21 tahun itu, didapati positif dadah.

"Mereka mengaku menjalankan aktiviti pecah rumah bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah," katanya.

Shafien berkata antara barang curi yang ditemui semula ialah silikon bernilai RM20,000, barangan andaman pengantin, peralatan muzik dan komputer riba.

Beliau berkata rampasan itu dibuat setelah polis dan pasukan ronda sukarela, menemui sebuah kereta yang dilaporkan hilang, berada di perkarangan sebuah rumah di Permatang Tinggi pada 3 Julai lepas.

-- BERNAMA


http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=423286&cat=ut

No comments:

Post a Comment