Saturday, September 19, 2009

Jabatan Perikanan Johor Perjelas Kejadian Ikan Kelisa Import Mati

JOHOR BAHARU, 13 Jan (Bernama) -- Jabatan Perikanan Johor hari Jumaat menjelaskan bahawa hanya 17 ekor dari 35 ekor ikan Kelisa yang dirampasnya mati selepas pihaknya membuat pemeriksaan ke atas 335 ekor ikan Kelisa milik seorang usahawan awal bulan lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan Johor, Gulam Sarwar Jan Mohammad berkata kematian kesemua ikan berkenaan juga bukan disebabkan faktor pemeriksaan yang lama semata-mata tetapi juga berpunca dari masa dan perjalanan yang lama.

"Kesemua ikan tersebut hidup ketika pemeriksaan dijalankan dan mungkin faktor masa serta perjalanan yang jauh iaitu dari Singapura dan dihantar ke Melaka serta Negeri Sembilan, menyebabkan ikan itu mati," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Wisma Persekutuan, di sini hari ini.

Gulam berkata demikian ekoran dakwaan seorang usahawan Timur Tengah yang juga Pengarah Majestic Fish Trading Sdn Bhd, Essam Al Bala'a yang mendakwa menanggung kerugian kira-kira RM300,000 selepas jabatan terbabit memeriksa ikan Kelisanya dan merampas 35 darinya, ketika ia dibawa masuk dari Singapura.

Mengulas lebih lanjut mengenai proses pemeriksaan, Gulam berkata proses yang mengambil masa yang lama itu juga adalah disebabkan kesalahan pihak usahawan itu sendiri.

"Jabatan Perikanan bersama enam pegawai sudah menunggu di Linkedua pada pukul 11 pagi tetapi kesemua ikan berkenaan yang sepatutnya tiba pada pukul 10.30 pagi, sampai kira-kira pukul 6.30 petang dan pemeriksaan pula mengambil masa dua setengah jam," katanya.

Katanya semua ikan terbabit kemudiannya dibawa ke Pusat Penyelidikan Batu Berendam, Melaka dan Pusat Penyelidikan Gelami Lemi, Jelebu, Negeri Sembilan, sebelum 17 ekor daripadanya didapati mati.

Gulam berkata tuduhan yang menyatakan Jabatan Perikanan Malaysia menyimpan sebanyak 40 ekor ikan Kelisa adalah tidak benar dan hanya 35 ekor sahaja yang dirampas dengan arahan mahkamah mengikut Seksyen 413 Kanun Acara Jenayah pada 14 Dis lepas, selepas dilucutkan hak.

"Daripada 35 ekor yang dirampas, 16 ekor mempunyai tag tetapi tidak memiliki nombor siri manakala 19 ekor lagi tidak mempunyai penanda dan nombor siri," katanya lagi.

Katanya mengikut dokumen Jabatan Perikanan Malaysia, jumlah keseluruhan ikan Kelisa yang dibawa masuk usahawan itu adalah sebanyak 335 dan daripada jumlah itu hanya 300 ekor yang menepati undang-undang Convention on International Trade in Endangered Species of Flaura and Fauna (CITES) dan dikembalikan semula kepada syarikat terbabit selepas pemeriksaan selesai.

Beliau berkata Jabatan Perikanan pernah menjalankan beberapa perbincangan bagi memaklumkan prosedur membawa ikan berkenaan dengan usahawan tersebut, bagaimanapun ia masih tidak dipatuhi.

"Hanya 331 ekor ikan yang diisytihar oleh usahawan terbabit pada 6 Dis dengan nilai RM136,955 ketika mengemukakan borang permit import, bagaimanapun 335 ekor ikan ditemui ketika pemeriksaan dijalankan pada 8 Dis dan nilai kematian 17 ekor ikan membabitkan beberapa ribu sahaja, katanya.

Menurut Gulam pemeriksaan yang dijalankan di Linkedua itu membabitkan pemeriksaan kali pertama dan semua urusan membawa masuk ikan ke negara sebelum ini hanya dibenarkan menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.

Katanya hanya pemandu lori berada ketika pemeriksaan dijalankan dan Syarikat Majestic Fish Trading tersebut dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 mengikut Seksyen 40 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana mengimport 35 ikan tanpa permit yang sah.

-- BERNAMA


http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=175266

No comments:

Post a Comment